Saturday, June 7, 2014

Antara Takut(Khauf) dan Berharap(Raja')

Bismillahirrahmanirrahim,

Sebuah Harapan


Jika kita merenung dan meneliti sejenak kehidupan kita, dan saya fokuskan terus kepada ketika mana kita sedang ditimpa rasa sakit, apakah yang seharusnya kita rasakan(niat) dan lakukan. Ya, segala yang kita lakukan adalah berdasarkan kepada apa yang kita niatkan.

Sebahagian daripada kita akan memilih untuk dirinya lebih kepada rasa takut. Maka, ketika sakit itu dia akan berusaha untuk cuba mengambil sebahagian langkah pencegahan antaranya dengan berjumpa doktor supaya sakit tersebut dapat dirawat dan segera dielakkan dari terus 'melarat' menjadi semakin teruk.
 

Namun, adakah sama tindakannya ketika dia memilih untuk takut semata-mata dan secara berlebihan. Kemungkinan besar jawapannya lebih ke arah kepada 'tidak'. Ini adalah kerana apabila dia merasakan sedemikian, rasa takut yang berlebihan itu menyebabkan dirinya tidak yakin bahawa rasa sakit yang dialaminya itu mampu untuk sembuh sehinggakan dia mengambil tindakan untuk tidak berjumpa dengan doktor kerana tidak mempercayainya.



Mengapa terjadinya perbezaan tindakan ini sedangkan apa yang diniatkan adalah seakan-akan hampir serupa? Apakah yang menyebabkan dengan rasa takut itu dia masih mampu berusaha untuk mencegah, sedangkan dengan rasa takut berlebihan pula, dia seolah-olah menyerah kalah. 

Punca yang membezakan kedua-dua tindakan ini adalah kerana wujudnya perasaan raja'(berharap). Perasaan ini akan cuba untuk menstabilkan kembali emosi seseorang yang sedang takut itu, untuk kembali terus 'berjuang'. 

Seimbang dan Seiring

Tidak bermakna disini dengan rasa berharap semata-mata, kita akan mengambil tindakan yang benar. Seseorang yang boleh juga digelarkan sebagai 'over confident' ini tidak akan mengambil sebarang tindakan kerana merasakan sakitnya akan sembuh dengan sendiri.

Sebagai contoh agar lebih jelas, kita lihat kepada seseorang yang mengalami kesakitan gigi yang disebabkan oleh pengambilan gula-gula/manisan yang berlebihan.
 

1. Pesakit yang merasakan takut dan harap
  • Niat: Dia takut giginya terus dan semakin sakit namun dia harap giginya mampu dan yakin untuk disembuhkan.  
  • Tindakan: Dia mengurangkan pengambilan manisan tersebut dan cuba berjumpa doktor gigi.

2. Pesakit yang hanya merasakan takut
  • Niat: Dia terlalu takut giginya tidak dapat dibaiki yang menjadikan dirinya tertekan dan putus harapan. 
  • Tindakan: Dia membiarkan sahaja dirinya terus sakit dan masih mengamalkan gaya pemakanannya tersebut.

3. Pesakit yang hanya berharap
  • Niat: Harapan yang terlalu tinggi dan yakin bahawa giginya akan sembuh sendiri. 
  • Tindakan: Dia juga membiarkan sahaja dirinya terus sakit dan masih mengamalkan gaya pemakanannya tersebut.

Akhirnya, antara rasa takut dan berharap perlu seimbang dan bergerak secara seiring.


Bakal-bakal Doktor Gigi Berwibawa
 Realiti Umat Hari Ini Yang Harus Direnungi

1. Sebagai Hamba:

  • Bagaimana situasi amal ibadat yang sedikit ini? 
  • Bagaimana dengan dosa-dosa yang banyak telah kita lakukan? 
  • Adakah kita telah melaksanakan tanggungjawab kita untuk melakukan amar makruf nahi mungkar?
2. Sebagai Khalifah(Pemimpin):
  • Bagaimana dengan negara kita Malaysia yang semakin hari didatangi dengan ideologi-ideologi pelik, jenayah dan maksiat terus berleluasa, dan kita pula masih bergaduh sesama sendiri? 
  • Adakah kita sedang memimpin masyarakat termasuk bukan Islam atau sebaliknya?

Kesimpulannya, seharusnya kita merasakan TAKUT dan terus BERHARAP!



Saturday, April 5, 2014

Nursing Bottle Caries

Gambar ini menunjukkan salah satu daripada jenis 'dental caries' atau boleh diterjemahkan sebagai kerosakan gigi yang disebabkan oleh bakteria yang sering berlaku kepada bayi/kanak-kanak setelah tumbuhnya gigi mereka yang dinamakan 'Nursing Bottle Caries'.

Antara faktor yang menyebabkan berlakunya masalah ini adalah kadar masa yang digunakan untuk mereka menyusu agak lama terutama semasa mereka sedang tidur. Semakin lama kadar masa menyusu itu, semakin tinggi risiko gigi mereka untuk rosak. 


Ketika mereka sedang tidur, pengaliran air liur akan berkurang dan tidak berlaku 'proses menelan'(swallowing reflex). Maka susu yang diminum tadi tidak dapat dikeluarkan dari mulut(oral cavity) dan akan bertakung di permukaan gigi yang menyebabkan lebih lama masa terkumpulnya karbohidrat dalam mulut. Karbohidrat ini seterusnya digunakan oleh bakteria untuk menghasilkan asid yang akhirnya menyebabkan gigi rosak. 

*****
Saya cuba bawa sedikit kisah kasih sayang seorang nabi, sebagaimana diceritakan oleh Anas r.a dimana ia berkata: "Aku tidak pernah melihat seseorang yang lebih kasih sayang kepada keluarganya dari Rasulullah saw, ia berkata: "Dulu Ibrahim disusui di pinggiran kota madinah, maka beliau pergi, dan kami pergi bersama beliau, lalu beliau masuk rumah, mengambilnya dan menciumnya, kemudian kembali." (HR. Muslim) 

Buktikan tanda sayang kita pada anak-anak atau adik-adik kita dengan mengambil langkah-langkah pencegahan. 


Rujukan: 

1. Nota 'Pediatric Dentistry' dalam tajuk 'Dental Caries'

2. Kitab Keperibadian Seorang Muslim oleh Muhammad Ali Al-Hashimi)

Sunday, June 30, 2013

Hakikat Yang Seringkali Dilupakan

Apakah perasaan anda setelah melihat gambar dibawah ini?
 
Gambar sebenar dan diambil slide revision Oral Pathology. Penyakit ini dinamakan 'Ameloblastoma'

Adakah anda rasa geli geleman, meremang bulu roma, atau rasa lucu, kelakar, kesian, sedih, gembira??? 

*****
Semasa di kelas, kami sendiri tergelak sedikit melihatkan gambar seakan ini(atau mungkin ini. terlupe.=)). Namun mujurlah doktor/guru kami sempat memberi pesanan, sewajarnya kita 'bersyukur' melihatkan kepada gambar ini kerana Allah tidak menjadikan kita seperti yang terjadi kepadanya sambil dirinya menyebut Alhamdulillah.

Pesanan yang ringkas namun menyentap hati saya dan mungkin rakan-rakan saya juga pada masa itu. Benarlah ungkapan ayat suci Al-Quran ini,

 قل هو الذي انشأكم وجعل لكم السمع والأبصر والأفئدة قليلا ما تشكرون 
Katakanlah: (Wahai Muhammad) Allah itulah Tuhan yang telah menciptakan dan mengadakan untuk kamu anggota pendengaran, penglihatan dan hati nurani, tetapi (sayang) 'sedikit benar kamu bersyukur'.(67:23)

Ya, seringkali kita lupa untuk bersyukur diatas segala permberianNya kepada kita.

***** 
Bagi yang sedang diuji pula dengan sebarang penyakit, kesakitan, derita, kemiskinan, sebarang kesusahan dan kesulitan malah ujian nikmat kekayaan, kesenangan dan kelapangan, maka kembali untuk kita menghayati kepada ayat suci Al Quran ini,
   
لا يكلف الله نفسا الا وسعها۔۔۔
Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya...(2:286) 

Kredit to: FB Ikatan Muslimin Malaysia(ISMA) Mesir
*****
 Semoga tulisan yang ringkas ini memberi manfaat. Wallahua'lam

Thursday, May 23, 2013

'Eh, mulut awak berbau.'

Apakah perasaan anda sekiranya ketika anda sedang bercakap bersama rakan anda, tiba-tiba dia menegur, 'Eh, mulut awak berbau.'


Sekiranya rakan yang menegur itu seorang yang jenis sopan, masih boleh dipertimbangkan kerana kebiasaannya rakan sebegini akan cuba untuk tegur dengan kita secara sembunyi-sembunyi mungkin melalui SMS atau mesej di FB. Akan tetapi bayangkan andaikan si penegur itu jenis seseorang yang berterus terang secara berdepan terus dan malahan dengan 'selamber' dihadapan orang ramai dan lebih dari itu ditertawakan pula oleh mereka, bak kata saudara di indon, 'pasti malu sik...'

Kemungkinan kita akan ada alasan untuk diberikan sekiranya mulut kita yang berbau itu disebabkan faktor penyakit, namun, sekiranya kerana disebabkan kemalasan kita untuk gosok gigi?

Maka, dengan perasaan malu tersebut, kita akan cuba untuk menggosok gigi kita, walaupun dalam keadaan kepenatan kerana kita sudah setkan pada minda kita, sekiranya tidak menggosok gigi kita akan lebih malu ditertawakan.


Mak ai, 'wangi' sangat bau mulut dia

Begitu juga dari sudut kehidupan kita yang lain. Renungkan sebuah hadis ini,

اذا لم تستح فاصنع ما شئت    

 'Jika engkau tidak malu, buatlah apa yang kamu suka.' (HR Bukhari)

Pernahkah kita memikirkan adakah kita mempunyai perasaan malu ketika kita melakukan sesuatu kesalahan? Ya, kerana kurangnya atau tiadanya rasa malu tersebut, maka dengan sewenangnya diri kita akan melakukannya dan selayaknya juga kita mendapat balasan yang setimpal.

Bagaimana mengatasi masalah ini? Tebalkan perasaan malu kita terutama kepada Allah dengan cara;

1.      Mengingati bahawa Allah tidak pernah putus mengurniakan pelbagai nikmat kepada kita walaupun sebelumnya kita telah melakukan dosa padanya. Tidak malukah kita?

2.      Memikirkan disaat kita semua dikumpulkan untuk menerima balasan di akhirat nanti. Disaat itu tiada rahsia yang dapat disimpan malah mulut, tangan, dan segala anggota tubuh badan kita juga akan berkata. Bagaimana malunya kita saat itu?

3.      Elakkan daripada membiasakan diri dengan melakukan perkara maksiat, kerana perkara tersebut akan menghakis perasaan malu tersebut.

4.      Cuba untuk menyesali kesalahan yang dilakukan secepat mungkin dan bertekad untuk tidak mengulanginya.

Maka, pilihlah ingin 'malu untuk tidak gosok gigi' atau 'ditertawakan' dan seumpama dengannya 'malu melakukan kesalahan' atau 'dihina'. Tiada sebarang paksaan. =)

Friday, April 5, 2013

Kehidupan Di Bawah Naungan Al-Quran

Tugas sebagai seorang doktor/dentist adalah satu tugas yang sangat baik. Membantu merawat orang lain daripada terus sengsara dalam kesakitan. Namun persoalannya, bagaimana cara untuk menjadi doktor/dentist yang terbaik?

Jawapannya hanyalah satu , iaitu dengan mengembalikan diri kita sebagaimana jalan yang telah ditetapkan Allah melalui Al-Quran dan Sunnah Rasulnya. Benarkah?

Umat Islam pada Zaman Pemerintahan Khilafah dahulu telah berjaya membuktikan untuk menjadi contoh bagi seluruh dunia dari segi kemajuan dalam bidang keilmuan termasuk ilmu perubatan dan pergigian. Antara tokoh-tokoh yang terkenal Al Zahrawi, Al Gazzar, Ar Razi, Ibnu Sina dan ramai lagi.

Mereka telah membuktikannya, dan sekarang tugas kita untuk menggalas tanggungjawab ini
       
Jadi di sini dikongsikan serba sedikit pesanan buat seorang doktor yang dipetik dari buku ‘Isu-Isu Fiqh Perubatan Semasa’ sebagaimana yang dianjurkan oleh Al-Quran; 

a.       Sentiasa bertakwa kepada Allah dan menunjukkan rasa takut kepadanya.

Para pesakit sebenarnya mengamanahkan segala tubuh badan dan kehormatan mereka, malah menyerahkan kepimpinan diri mereka kepada doktor.

b.       Ikhlas di dalam melakukan kerja.

Sesiapa menjadikan profesyen kedoktorannya kerana Allah, dia diberi pahala di dunia dan diakhirat. Sebaliknya yang terlibat dengan dunia kedoktoran semata-mata hendak mendapat gaji, maka dia memperoleh apa yang diniatkan itu sahaja.
“Sesiapa yang menghendaki(dengan amal usahanya) mendapat faedah di akhirat, Kami akan memberinya mendapat pada faedah yang dikehendakinya; dan barang sesiapa yang menghendaki(dengan amal usahanya) kebaikan dunia semata-mata, Kami beri kepadanya dari kebaikan dunia itu(sekadar yang Kami tentukan), dan ia tidak akan beroleh sesuatu bahagian pun di akhirat kelak.” As-Syura: 20
c.       Bersikap lemah lembut dengan pesakit.

Seorang doktor hendaklah menanam di dalam hati perasaan sayang kepada pesakitnya, kerana itu adalah sebaik-baik rawatan dan lebih mudah menyembuhkan penyakit.
“Sesungguhnya Allah menganugerahkan sesuatu melalui sikap lemah lembut dan tidak menganugerkannya melalui sikap kasar.” (Hadis) 
d.      Berusaha bersungguh-sungguh mengenal pasti penyakit dan tidak hanya bergantung kepada penjelasan daripada pesakit sahaja.

 
e.      Sentiasa memohon pertolongan daripada Allah s.w.t dalam setiap keadaan.

Tanggungjawab kedoktoran adalah satu profesion yang berat dengan membuatkan bahu-bahu manusia tidak mampu memikulnya. Oleh sebab itu doktor hendaklah terus menerus memohon pertolongan daripada Allah dan tidak hanya bergantung pada ilmu, pengalaman dan juga kekuatannya semata-mata.

f.        Sentiasa menjadi contoh dan teladan kepadan rakan-rakan dan juga pesakit.

Baik dari segi adab dan akhlak serta berusaha mendekatkan diri para pesakitnya dengan Allah. Berapa banyak doktor yang pintar, matang dan suka memberi nasihat, menjadi sebab kepada penerimaan hidayah daripada Allah oleh kebanyakan pesakit. (Rujukan contoh nasihat-nasihat di lampiran seterusnya.)

g.       Tidak menumpukan kepada ilmu kedoktoran sahaja.

Seorang doktor hendaklah juga mengetahui ilmu-ilmu syarak, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan keperluan bersuci dan solat pesakit, apalagi yang melibatkanperkara yang mesti dipelajari bagi membetulkan akidah dan ibadah.

h.      Tidak berkhalwat dengan pesakit wanita bukan muhrim
“Tidak ada seorang lelaki yang bersunyi-sunyian dengan seorang wanita bukan muhrim melainkan pihak ketiganya adalah syaitan.” (hadis)
i.   Doktor wanita hendaklah beriltizam dengan sifat malu dan sentiasa menjaga batas-batas syarak.

Suasana kerja yang ditempuhinya, jangan hendaknya memperdaya dan melupakan kedudukannya sebagai Muslimah, yang diperintahkan supaya berjilbab dan memakai jilbab.

Bertudung tidak akan menghalang seseorang perempuan melaksanakan tugas hariannya
Inilah antara serba sedikit pesanan-pesanan buat doktor yang dapat dipetik dari buku tersebut. Akhir kata, saya menutup dengan firman Allah, “…dan sesiapa yang bertakwa kepada Allah(dengan mengerjakan suruhannya dan meninggalkan larangannya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar(daripada segal perkara yang menyusahkannya), serta memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya…” At Talaq: 2-3.

Rujukan: 
1. Kitab Isu-isu Fiqh Perubatan Semasa oleh Al Syeikh Walid Bin Rasyid Al-Su'aidan, yang diterjemahah oleh Dr. Basri Bin Ibrahim Al Hasani Al Azhari 
2. http://tonyoke.wordpress.com/2009/06/16/kontribusi-peradaban-islam-dalam-kedokteran-gigi/
3. http://en.wikipedia.org/wiki/List_of_Muslim_scientists

Thursday, January 10, 2013

Educated VS 'Less' Educated

Alhamdulillah hari ini selesai menjawab mid-term exam untuk subjek Operative Dentistry. Semoga Allah memberi sy n sahabat-sahabat dentist keputusan terbaik dan memberi kekuatan untuk kami membuat yg terbaik untuk exam seterusnya. 

Cuma sy ingin berkongsi sedikit ilmu yang dibaca,

One of the factors influencing selection of the suitable restorative material is educational and social conditions of the patient:
1. Educated patient advocate the most suitable restoration according to their satisfaction.
2. 'Less educated persons' prefer esthetic restoratives.
3. Uneducated patients agree with operator selection for the suitable restoration.

--------------------

Point yang ingin sy sampaikan adalah, 'kebiasaannya' apabila kita menilai sesuatu, kita hanya lebih menilai dari sudut kecantikan(esthetic) sahaja.
 

Namun, bagi seseorang yang pandai(educated), kecantikan 'bukanlah' satu-satunya penilaian yang ada, malah dia akan menilai dari keseluruhan aspek-aspek lain dahulu sebelum memilih yang terbaik.
 

So, make sure that we become an educated person. ^^

Gambar menunjukkan dua jenis tampalan. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya.
  
Rujukan dan ringkasan dari nota 'Selection of suitable restorative material.'

*Maksud-maksud perkataan:
1. Restorative material= Bahan untuk tampalan gigi
2. Esthetic= Nilai kecantikan

Tuesday, November 20, 2012

You Can't Get Everything in X-ray

"You can't get everything in life and you can't get everything in X-ray" 
Jelas Dr. Nancy pada kelas petang tadi, yang merupakan salah seorang doktor kelas praktikal Radiography. Beliau menerangkan tentang hakikat seorang dentist tidak mampu untuk membuat sesuatu dengan sempurna. Untuk mengambil X-ray seseorang, kami hanya mampu memilih salah satu antara 2 jenis X-ray dan setiap jenis itu ada kebaikan dan kelemahannya.

Sebagai contoh, X-ray jenis pertama, Panorama X-ray. Kelebihannya adalah dapat mengambil gambar untuk keseluruhan gigi namun kelemahannya gambar yang dihasilkan kurang jelas untuk melihat kemungkinan wujudnya symptoms(penyakit) lain yang sukar dikesan. 
Panorama X Ray

Lain pula dengan jenis kedua, Periapical X-ray. Jenis ini kelebihannya dapat melihat symptoms yang wujud dengan jelas namun kelemahannya pula hanya dapat mengambil gambar untuk sebahagian gigi sahaja. Maka kami hanya dapat memilih hanya salah satu dari kedua-duanya. Tidak mampu untuk mendapatkan kedua-dua kelebihan yang ada serentak.

Periapical X Ray
*****

Kata-kata ini mengingatkan tentang betapa kerdilnya kita sebagai seorang manusia. Kita mempunyai limit/batasan dalam setiap sesuatu. Sedangkan lihat pula pada ciptaan-ciptaan Allah. Cukup hanya lihat pada rambut, mata, tangan, kaki malah gigi kita, Subhanallah, ciptaanNya yang tiada bandingan. Kesempurnaannya dari sekecil-kecil sel hingga ke sebesar-besar ciptaan.

Maka, nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan? (Surah Ar Rahman)